Wednesday, September 30, 2009

::SHE_GIRL@HE.MAN:: [2]

Kedai makan Azmizan agak lengang ketika itu. Pelanggan yang tadinya ramai sudah mula menyusut. Dapatlah Rea berehat seketika selepas penat menerima dan menghantar pesanan pelanggan. Memang sudah kebiasaan waktu makan tengah hari pelanggan yang datang agak ramai berbanding waktu lain. Rea menyisip air limau di gelas. Leganya tekak yang haus setelah dibasahkan.

Sudah hampir 3 minggu dia membantu di kedai abang sulungnya itu. Semenjak Kak Nita semakin sarat mengandungkan anak keempatnya. Tambahan pula dia pun hanya duduk goyang kaki di rumah. Pembantu abangnya cuma seorang selain Kak Nita. Jadi sementara Kak Nita makin sarat dialah yang mengambil alih tugas kakak iparnya itu.

Tugasnya juga bukanlah berat sangat. Tukang bancuh air selain menghantarnya kepada pelanggan. Azmizan yang sudah selesai menunaikan solat zuhur duduk di sebelah Rea. Ada sesuatu yang mahu dibicarakan.

“Pak Long ada cakap yang Angah nak balik hari ni?”

“Ada. Kenapa bos? Ada hal penting ke?” Rea musykil. Kenapa Azmizan bertanya begitu kepadanya. Bukannya Amiruddin tidak pernah balik ke kampung. Lagipun sudah lama abangnya yang berkerja di Kuala Lumpur itu tidak balik. Tapi memang abangnya itu selalu membawa masalah. Panas barannya tidak pernah berkurang walaupun sudah mendirikan rumah tangga. Kasihan juga pada Kak Julia yang malang mendapat abang keduanya itu.

Azmizan mencebikkan bibirnya. Biarlah Amiruddin sendiri yang memberitahu berita itu kepada adik bongsunya. Dia tidak sanggup untuk mengkhabarkan berita itu. Padanya Amiruddin sudah melampau. Tapi dia tiada daya untuk bertekak dengan adiknya yang keras kepala itu. Pantang ditegah keinginannya, pasti mengamuk satu kampung. Yang pasti dia akan berjuang mempertahankan Rea apabila Amiruddin sampai nanti.

“Bos, orang solat dulu lah.” Rea berlalu pergi.

Rea yang sedang mendengar pertengkaran di ruang tamu hampir menangis. Dia kuatkan dirinya untuk bertahan. Patutlah ayah memberikan nasihat yang pelik pagi tadi. Rupa-rupanya Amiruddin membawa berita duka.

Suasana di ruang tamu rumah Pak Long Zaidi makin berbahang. Aizuddin, abang ketiga Rea sudah hampir berputus asa bertekak dengan Amiruddin. Berita Amiruddin memang amat mengejutkannya. Dia segera ke tangga menghadap kegelapan malam. Cuba menyabarkan hati yang sudah panas. Kalau tidak mengenangkan Pak Longnya, sudah lama lebam muka abangnya itu.

Azmizan terdiam di kerusi. Dia tahu Rea sedang mendengar pertengkaran mereka. Sejak di kedai makan petang tadi lagi, Rea sugul seperti mahu mengangis. Dia sudah puas bertikam lidah dengan adiknya namun keputusan Amiruddin masih belum berganjak.
Rea bingkas bangun. Dia sudah lama mendiamkan diri sedangkan abang-abangnya masih lagi bertekak. Seketika dia teringat kembali kata-kata Amiruddin yang pasti melukakan hati abang sulungnya petang tadi.


“Kau tak boleh buat macam ni. Rea tu masih kecil lagi. Bukan masanya lagi. Yang kau beria-ria sangat kenapa?” Azmizan mempertahankan Rea setelah Amiruddin memberitahu rancangannya.

“Alah Long ni. Saya cuma fikirkan kebaikan dia. Saya tak nak lah dia bergaul ngan budak-budak tak tentu arah kat kampung ni. Dia pun dah jadi anak dara Long oi. Bukan kecil mana pun.” Amiruddin bersuara mahu memujuk abangnya supaya bersetuju dengan cadangannya.

“Along tahu Rea macam mana. Dia tahulah jaga diri dia. Semua kawan-kawan dia aku kenal. Budak baik-baik semuanya. Kau tak payahlah risau sangat. Lagipun selama ini aku ngan Pak Long yang dok jaga dia. Kenapa kau pula tiba-tiba ambil berat sangat pasal dia?” Alasan Amiruddin tidak begitu kukuh di fikirannya.

“Along… Dato’ tu memang nak bertanggungjawab. Dia orang berada. Dia nak tebus dosa yang anak dia dah buat kat keluarga kita. Nanti Rea juga yang hidup senang. Tak yah kerja sampai tua.” Amiruddin tidak mahu mengalah. Ini peluang sekali seumur hidup. Dia mahu keluarga Dato’ Nik bertanggungjawab atas kematian ayahnya dulu.

Selama ini dia puas mencari keluarga itu. Dia mahu membalas dendam. Pekerjaannya sebagai pengurus bahagian di syarikat kepunyaan Dato’ Nik tidak memadai. Dia percaya jika rancangannya berjaya sudah pasti dia mampu hidup dengan lebih mewah.

“along tak peduli dia kaya sekali pun. Along dah tak sanggup nak tengok Rea derita. Dia dah lah tak dapat kasih sayang ibu. Ayah jaga dia pun kejap sangat. Abang tahu dia pun nak masuk universiti juga macam kau. Kau pun sekarang dah kerja bagus, kau tolonglah dia sikit-sikit.” Azmizan masih belum bersetuju.

“saya baru je kerja long. Tak sempat nak simpan duit pun lagi. Kalau along dengar cakap saya ni, nanti dia nak masuk universiti senang. Dato’ boleh tanggung Long.” Amiruddin berdolak-dalik.

“ Tak pe lah kalau kau tak boleh tolong. Along boleh tanggung dia. Pak Long pun ada. Tak payah Dato’ datin.” Azmizan sudah memutuskan. Dia tidak akan berganjak dari keputusannya.

“Itulah along. Kalau saya cakap along bodoh, mesti along marah. Along tu tak sekolah, sebab tu along tak reti nak ambil peluang. Dah orang nak bagi, ambik jelah. Bukannya dia nak seksa pun si Rea tu. Bukan suruh kerja berat-berat pun.” Amiruddin berkata lancang. Dia sudah tidak peduli lagi. Hati abangnya yang terguris tidak diendahkan. Apa yang penting rencananya menjadi.

Rea yang mendengar di sebalik dinding tersentak. Abang ngahnya sudah melampau. Walaupun dia tidak nampak reaksi Azmizan tapi dia pasti abangnya juga tersentak.

“Along boleh tanggung dia. InsyaAllah rezeki along ada untuk menanggung adik along.” Azmizan sudah bernada rendah. Hatinya terasa dengan penghinaan adiknya.

“Senangnya along bercakap. Anak-anak along semuanya masih kecil lagi. Baik along simpan untuk anak-anak along je duit tu. Sekarang ni Kak Nita pun dah nak bersalin. Nantikan nak bayar bil hospital pun along kena pinjam duit Pak Long. Pak Long pun ada anak-anak yang bersekolah. Si Fhakri pun masih kat Ireland. Dia pun mesti tak cukup duit nak tanggung Rea long.” Amiruddin cuba menyedarkan abangnya tentang hakikat kehidupan yang mereka lalui.


“Saya tetap tak setuju Angah. Rea tu budak lagi. Apa yang dia tahu. Lagipun saya rasa ayah pun tak suka angah nak kahwinkan adik semuda ini.” Kuat suara Aizuddin mematikan lamunan Rea terhadap peristiwa tadi.

Faizah menghampiri sepupunya yang sudah bergenang air mata. Dia cuba mengerti perasaan Rea. Perkahwinan bermakna hancur segala impian gadis itu untuk mengejar cita-citanya. Impian Rea yang sudah lama tertanam di lubuk hati.

“Betul apa yang Din cakap. Pak Long dah fikir masak-masak. Pak Long tak setuju.” Pak Long Zaidi menyokong Aizuddin. Amiruddin sudah hilang sabar.

“Pak Long ni sama macam Along. Tak reti nak ambil peluang…”

“Cukuplah angah…. Kalau itu yang Angah nak, orang terima.” Rea sudah memintas bicara Amiruddin. Semua orang tersentak kerana Rea muncul tiba-tiba. Lebih-lebih lagi dengan persetujuan yang diberikan kepada rencana Amiruddin. Dia segera berlalu ke biliknya sebelum menghamburkan air matanya yang sudah tidak tertahan lagi. Dia tidak mahu mereka terus bertelagah. Dia tidak mahu roh ayahnya terseksa. Dia tidak ingin Angahnya menghina Pak Long, orang yang sudah membelanya dari kecil seperti dia menghina Azmizan. ‘Ayah, orang pasrah. Restui orang ya…’

Walaupun semuanya terkejut, Amiruddin masih mampu tersenyum. Dalam diam Azmizan menyapu air matanya. ‘Maafkan along dik. Along tak berdaya.’

4 comments: