Wednesday, September 30, 2009

::SHE_GIRL@HE.MAN:: [3]

Rea berjalan perlahan-lahan ke pinggir kampungnya. Dia menjejakkan kaki ke perkarangan kubur. Laju langkahnya diatur ke arah sebuah kubur yang sudah hampir dua minggu tidak dijenguk. Selalunya seminggu sekali mesti mukanya akan terjengul di situ. Dia bukannya terlupa tapi tiada kesempatan waktu. Kesibukannya di kedai makan Azmizan membataskan waktunya.

Dia melabuhkan punggung di antara dua buah kubur insan yang amat dia kasihi. Termenung sebentar sambil meletakkan sejug air bunga di sisi. Surah Yasssin yang diletakkan di dalam poket dikeluarkan. Dia berselawat sebelum mengalunkan surah itu disedekahkan buat kedua orang tuanya. Buat ayahnya yang hampir enam tahun pergi. Juga buat ibu yang tidak pernah dikenalinya. Biarpun tidak pernah dikucupi tangan ibunya tapi dia tahu insan itu amat menyayanginya. Walaupun tidak pernah bersemuka tapi dia rasa amat dekat dengan wanita yang menjadi suri di hati ayah.

Marea, nama arwah ibu. Nama Inggeris yang dikekalkan walaupun ibu sudah memeluk Islam. Melalui ayah dia tahu wanita itu amat baik. Sebaik hati ayah yang tidak pernah menanam dendam. Wajahnya sering dikhabarkan seiras ibu. Punyai kelembutan wajah yang sama. Tapi sayang sekali kelembutan tutur kata dan perilakunya tidak sesopan ibunya. Mungkin dia sering terikut sikap dan perangai abang-abangnya. Lagipun dia dibesarkan sepenuhnya oleh seorang lelaki tanpa ada sedikitpun sentuhan wanita.

Ibu pergi ketika melahirkannya. Belumpun sempat ayah meraikan kelahiran anak perempuan yang sudah lama dinanti, ayah perlu redha pemergian seorang isteri. Hanya seketika ayah dapat membelai wajah ibu yang masih kesakitan menahan derita bersalin. Ibu sempat menyentuh dan membelai anaknya yang baru lahir. Biarpun sedetik tapi hati ibu begitu bersyukur. Biarlah nyawanya yang menjadi galang ganti asalkan dia mampu membalas kasih sayang tidak bertepi seorang suami.

Rea mengaminkan doanya. Tangannya mencabut rumput-rumput kecil yang tumbuh. Dia merenung lagi kuburan itu. Dadanya sebak. Sebak dengan perkara semalam. Dia tidak punya tempat mengadu. Sudah cukup abang-abangnya berkorban demi dirinya. Sekarang sudah sampai saatnya dia membalas jasa. Dia amat yakin yang arwah ayah dan ibunya merestui keputusan yang dia ambil. Biarlah perasaannya terkorban asalkan abang-abangnya tidak bergaduh.

“Ayah… Maafkan orang. Orang sedih sangat. Angah macam tak sayangkan orang sikit pun. Kesian kat Along ngan Abang Din. Semalam diaorang gaduh. Orang tak tau nak buat apa. Kalau orang tak setuju mesti Angah marah Pak Long lagi… Kalau ayah ada mesti Angah tak macam ni.” Esakannya sudah jelas kedengaran. Dia bukan mahu membebankan roh ayahnya tapi hatinya sudah tidak berdaya menahan sebak.

“Orang pun tak tahu betul ke tak keputusan orang. Yang penting biar diaorang tak bergaduh. Ayah… Kenapa ayah cakap macam tu? Ayah tahu ke Angah nak kahwinkan orang?” Rea teringatkan kembali kata-kata ayahnya dalam mimpinya.

“Rea.. Jangan biar abang bergaduh. Jagalah hubungan kerana kepada merekalah kita masih mampu meminta bantuan. Jangan biar perkara kecil memutuskan silaturrahim. Darah yang mengalir dalam diri kamu adalah sama. Ingatlah yang ayah akan sentiasa di sisi anak ayah. Kebahagian itu kadang-kadang di luar batas pemikiran kita. Kita sebagai hambaNya haruslah waras dan matang dalam membuat pertimbangan. Jangan biar kemarahan dan kesedihan muncul dalam diri. Ayah yakin Rea mampu menerima ketentuan Ilahi ini. Ingatlah jika ada kesulitan kembalilah kepada Yang Maha Pencipta. Allah itu Maha Mengetahui sayang.”


Bahu Rea disentuh dari belakang. Laju dia mengesat air mata sebelum mendongak memandang insan di belakangnya. Aizuddin duduk di sebelahnya. Membuka surah Yassin di tangan. Rea hanya memerhatikan lelaki itu. Dia kelihatan matang dari umurnya. Dia hanya berteleku di situ menantikan lelaki itu menamatkan bacaan. Sedekah seorang anak buat roh kedua-dua orang tuanya. Aizuddin yang lengkap berbaju melayu mengaminkan doanya. Dia merenung adiknya yang diam membeku.

Pasti Rea terluka. Siapa yang sanggup mengorbankan usia remaja dengan ikatan perkahwinan. Masih banyak benda yang adiknya tidak terokai di dunia ini. Bagi dia, kemiskinan bukan alasan untuk mengorbankan usia remaja yang hanya sekali seumur hidup.

Aizuddin mencapai jug air di tangan Rea lalu menjirusnya di atas kubur ayahnya sebelum beralih ke kubur yang satu lagi. Derita ayahnya menanggung rindu pada ibu sudah berakhir. Pasti mereka akan bersatu di syurga nanti. Mereka meninggalkan tanah perkuburan itu menuju ke deretan motosikal yang diparkir di luar pagar. Hari ini hari Jumaat, jadi ramai orang datang menziarahi kubur saudara mereka.

“Rea datang ngan ape?” Aizuddin memecahkan kebisuan yang menyelubungi.

“Tadi jalan kaki jer.” Rea bernada sayu.

“Jomlah abang hantar ke rumah. Tak lah penat sangat jalan.” Aizuddin menghidupkan enjin motosikalnya. Walaupun jarak ke rumah Pak Long Zaidi tidak begitu jauh tapi makan masa juga untuk berjalan kaki.

“Tak pe lah. Nanti lambat pula abang nak gi solat Jumaat.” Rea berdolak-dalih. Dia mahu bersendirian.

“Lambat lagi. Jomlah. Panas ni.” Aizuddin terus memujuk. Matahari sudah pun terik di langit.

Rea mengikuti abangnya. Namun jalan yang dilalui bukan jalan balik ke rumah. ‘Mesti abang nak soal siasat aku ni.’ Telahan Rea ternyata tepat kerana Aizuddin meletakkan motosikalnya di berhampiran pangkin kecil di hadapan rumah lamanya. Rumah yang membesarkannya sehingga berumur 12 tahun. Rumah tempat dia merasa indahnya hidup bersama ayah. Di rumah itu jugalah dia memangku kepala ayah yang berlumuran darah. Kini rumah itu hanya secebis kenangan yang sedang menanti rebah.

“Betul ke Rea setuju dengan cadangan Angah semalam?” Aizuddin berbicara memecahkan kesunyian antara mereka. Rea tersenyum sumbing.

“Entahlah abang. Orang pun confius jugak. Tapi tak pelah. Dah nasib badan..” Rea menjawab dalam nada yang sukar untuk dimengerti. Hidup mesti diteruskan.

“Abang tak setuju lah dik. Semalam kitaorang nak bangkang tapi tetiba je adik menyampuk kata dah setuju kenapa?” Aizuddin menangkap redup mata adiknya yang sudah pun berair. Dia berasa bersalah tapi dia perlu tahu alasan Rea menerima cadangan abangnya. Dia perlukan kepastian. Dalam masa yang sama dia juga tidak sanggup menambah derita gadis itu.

“ Rea kena tahu yang perkahwinan bukan main-main. Nanti Rea kena bertanggungjawab sebagai isteri dan menantu. Nanti kena jadi ibu lagi. Padahal Rea kecil lagikan.” Aizuddin menyambung bicaranya.

Rea tersentak. Kata-kata jejaka berusia 23 tahun itu menakutkan dia. Alamak!!! Gerunnya memikirkan keadaannya sebagai seorang ibu. Ibu di saat dia masih lagi tidak gemar melayan karenah budak-budak.

“ Tak best ke jadi menantu Dato’?”

“Entah. Abang bukannya pernah kahwin ngan anak Dato’ pun. Nak kahwin ngan anak petani pun tak mampu, inikan pulak anak orang kaya.”

“ Abang tak payah risau lah. Orang dah bagi syarat kat Angah pagi tadi. Orang kata orang nak masuk universiti jugak. Lantaklah lepas kahwin pun. Kita tawakkal pada Allah je lah ek..”

“ Hmmm… Abang minta maaf sebab abang tak boleh nak jaga Rea betul-betul. Abang doakan Rea bahagia. Nanti Rea kahwin dulu dari abanglah ye. Tak aci betul..” Aizuddin cuba menyedapkan hatinya sendiri. Rea disebelahnya ketawa.

“ Owhh… Abang ni jeles ngan orang ye. Patutlah tak bagi orang kawin. Takut langkah bendul rupanya.”

“Ehh.. Macam mana Rea tau ni. Bocor rahsia pulak…” Giliran Aizuddin pula ketawa. Suasana di antara mereka sudah semakin ceria.

“ Pergilah pinang Kak Ju cepat-cepat. Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama dia diambil orang.” Rea bernyanyi mengusik abangnya. Aizuddin mencebik.

“ Tak denya orang ambik. Kak Ju tu tergila-gilakan abang tau.”

“ Boleh blah lah.. Abang yang gila bayang. Report kat Kak Ju baru tau”

Azan yang berkumandang mematikan ketawa mereka berdua. Aizuddin segera bangun dari pangkin menuju ke motosikalnya. Dia perlu segera ke masjid jika tidak mahu terlepas khutbah Jumaatnya. Sebelum itu dia perlu menghantar Rea ke rumah dulu.

No comments:

Post a Comment