Sunday, September 13, 2009

::SHE_GIRL@HE.MAN:: [1]

Dia terbangun dari tidur. Sisa air mata dikesat dengan hujung jari. Ya Allah, berikanlah hamba mu sedikit kekuatan. Kurniakanlah daku secubit ketabahan dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Aku seorang insan yang lemah tanpa pertolonganMu. Berilah daku perlindungan supaya hidupku aman dan tenteram. Peringatkanlah daku andai aku sudah tersesat jalan.

Dia membaca doa bangun dari tidur lalu menuju ke bilik air. Langkah diatur perlahan-lahan agar gadis yang masih lena di sebelahnya tidak terjaga. Lantai rumah papan itu kadang-kala mengeluarkan bunyi berkeriut yang mampu mengejutkan orang lain di kala pagi yang masih sunyi.

Alunan suaranya yang membunyikan ayat-ayat suci al-Quran jelas kedengaran pada penghuni bilik sebelah. Bacaan di awal hari mampu membangkitkan rasa keinsafan di dalam hati. Bacaannya terhenti tatkala dia menahan rasa sebak yang merajai hati. Kerinduannya buat insan istimewa yang sudah pergi begitu menggila. Dia terlalu merindui insan yang pergi buat selama-lamanya. Pergi yang tidak akan kembali lagi. Namun dia meredhainya. Setiap insan pasti pergi menyambut seruan Ilahi.

Usai mengaji dia terus menunaikan solat subuh yang baru seketika kedengaran azannya. Seruan yang memanggil umat manusia yang masih lena agar segera bangun bersujud pada Yang Maha Esa. Doanya lama sekali pada pagi itu.

Ya Allah, pinjamkanlah hamba sedikit kekuatan untuk terus melangkah di hari esok. Lapangkanlah dadaku agar aku mampu menilai hikmah di sebalik setiap kejadian yang menimpaku. Tetapkanlah iman dan takwaku agar aku terus patuh pada perintahmu Ya Allah. Amankan roh mereka yang sudah bersemadi di sana. Aku memohon dengan seluruh kekuasaanMu sebagai pentadbir alam ini. Semoga aku terus menjadi hambamu yang soleh. Amin Ya Rabbi Alamin.


Mak Kinah yang sedang membancuh air tersenyum memandang wajah gadis itu. Secawan air teh yang masih panas dihidangkan buat gadis itu. Hanya senyuman yang menghias bibir gadis itu. Wajah muramnya nyata meresahkan Mak Kinah.

“ Masak apa hari ni Mak Long?” gadis itu berbasa-basi.

“ Nasi lemak. Ni Pak Long kau yang nak makan. Takut kempunan aje orang tua tu.”

Mak Kinah teringatkan suaminya yang hendak merasa nasi lemak masakannya. Sudah lama tak makan katanya. Dia pun tidak mahu mengecewakan hasrat suaminya itu. Lagipun itulah tugasnya sebagai isteri yang sudah semestinya sentiasa membahagiakan suami yang sudah hampir 30 tahun dikahwininya.

“ Dah kejutkan Izah?” Mak Kinah teringatkan anaknya yang masih bersekolah itu. Dia tidak mengejutkan Faizah hari ini kerana bilik yang dihuni anaknya bersama Rea sudah terang. Selalunya dialah yang mengejutkan kedua-duanya supaya bangun solat. Anggukan kepala Rea merimaskan Mak Kinah. Gadis yang banyak mulut itu pasti sedang bersedih.

“ Rea teringatkan ayah ke?” Usul Mak Kinah yang kenal benar dengan perangai anak saudaranya itu. Kalau bangun awal pagi mesti kerana teringatkan arwah ayahnya. Apa yang mengagumkan dia ialah gadis itu mesti menghadiahkan bacaan surah Yaasin kepada roh ayahnya apabila teringatkan arwah adik suaminya itu. Itulah sikap yang sudah lama ditanam oleh adik iparnya sebelum dia meninggal lagi.

“ Entahlah Mak Long. Orang mimpikan ayah tadi. Tapikan ayah macam pelik je tadi. Macam…..” Rea teringatkan mimpanya tadi. Dia memang sering kali bermimpikan ayahnya tapi kali ini nasihat ayahnya amat berbeza. Seingatnya belum pernah ayahnya berkata begitu sewaktu hayatnya. Dia memandang wajah Mak Kinah yang penuh tanda tanya.
“ Macam apa?” Mak Kinah menyoal tak sabar.
“ Macam ada benda nak berlaku.. Benda tak baik.”
Mak Kinah tersentap. Ya Allah. Sesungguhnya kuasamu tidak ada tandingan. Memang ada sesuatu yang bakal terjadi. Sesuatu yang akan menghancurkan hati gadis itu. Tiba-tiba dia berasa amat berdosa kerana bakal menyakiti hati seorang anak yatim piatu. Tidak tertahan rasanya sebak di hati apabila memikirkan kesudahan derita anak itu.
Kedatangan Faizah ke meja makan menghalang Mak Kinah yang baru sahaja ingin berkata sesuatu. Faizah yang sudah lengkap memakai uniform sekolah duduk di sisi Rea lalu menghirup teh buatan ibunya. Dia memandang ibunya dan Rea silih berganti. Pelik kerana Rea yang suka bercakap membisu sahaja. Selalunya dialah yang paling ligat bersuara di pagi hari. Timbul idea nakalnya.
“ Kak Rea! Kenapa tak siap lagi ni? Hari ni sekolah lah” Jeritan Faizah menyentakkan Rea.
‘Budak ni memang nak kena. Nak ejek akulah tu. Geramnya aku. Ingat sesuka hati dia je nak pedajalkan aku ye. Nanti kau.’ Omel Rea di dalam hati. Dia memandang Faizah masih ketawa. Mungkin masih berpesta kerana berjaya mengenakan Rea minggu lepas. Mak Kinah hanya tersenyum.

Rea terkejut. Dia bingkas bangun lalu merentap tuala sebelum meluru ke dalam bilik air. Dalam hati dia memarahi Faizah yang lambat mengejutkannya. Alamatnya lambatlah dia ke sekolah hari ini. Faizah yang sudah lengkap memakai uniform menambahkan kekagetan dia.
“Kak Rea cepatlah. Nanti lambat.” Faizah yang berdiri di pintu menggesanya. Faizah yang tersenyum sumbing membuatkan dia pelik. Mungkin sedang mentertawakan dia yang kelambatan.
“Mak Long! Baju orang mana?” Rea segera menuju ke dapur kerana tidak menjumpai baju seragamnya.
Mak Kinah terkejut. Firdaus dan Pak Long Zaidi yang sedang bersarapan turut terkejut melihat Rea yang masih bertuala dan bert-shirt. Tiba-tiba Faizah tergelak kuat lalu menghampiri Rea yang kebingungan.
“Kak… nak gi sekolah ke?” Faizah terduduk di birai tangga dapur.
“FAIZAH!!!” Jeritan Rea membuatkan mereka semua ketawa. Tidak sangka Faizah mampu mengenakan Rea. Padahal Faizahlah yang selalu menjadi mangsa lawak-lawak khianat Rea.
Rea sendiri tidak sedar yang dia sudah dipermain-mainkan. Dia sudah sebulan menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Faizah pula macam tahu saja yamg dia rindukan alam persekolahannya. Geram dan malunya bertimpa-timpa.

“Makan bang.” Suara Mak Kinah yang sedang menyendukkan nasi ke pinggan Pak Long Zaidi mematikan ingatan Rea terhadap tragedi minggu lepas. Dia pun masih belum membalas dendam terhadap gadis berusia 15 tahun itu.
“ Izah, cepat panggilkan Abang Daus. Nanti lambat pula dia sarapan.” Pak Long Zaidi bersuara selepas menghirup teh di cawan.
“Abang! Cepatlah.” Faizah menjerit di meja makan.
“Budak ni. Kita suruh pergi tengok. Dia pula menjerit je kerjanya.” Pak Long Zaidi memarahi anak bongsunya itu. Faizah hanya tersengih.
Seketika kemudian Firdaus muncul dengan tali leher di tangan. Uniform sekolahnya kelihatan sedikit renyuk.
“Daus tak gosok baju ke?” Mak Kinah bertanya.
“Dah gosok dah. Tadi jatuh lepas tu terpijak pulak. Tak pe lah mak. Sikit jer ni.”
Mereka mula bersarapan selepas Pak Long Zaidi membaca doa makan. Rea bersyukur kerana dia masih mampu bernafas hari ini. Masih mampu menjalani hidup di sisi mereka yang menyayanginya dengan tulus.

“Rea… Lupa pula Pak Long nak cakap. Angah kau kata nak datang hari ini.”
Rea terkedu di pinggan. Alamak… Bala dah datang.

2 comments: